News

Sumber O&G Baharu Ditemui
Posted on : 24 Mar 2021  Source of News: Utusan Sarawak
 

SEBUYAU: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan terdapat penemuan kawasan sumber minyak dan gas asli (O&G) yang baharu di pesisir perairan negeri ini.

Menurut beliau, syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) telah memaklumkan mengenai berita gembira tersebut kepadanya semasa mengadakan kunjungan hormat, semalam.

“Dalam masa tiga bulan ini, terdapat banyak penemuan baharu gas dan minyak di perairan negeri ini. Dua (lombong minyak) sudah ditemui, dan mungkin ada lagi yang baharu.

“PETRONAS akan membuat pengumuman yang lebih lanjut secara rasmi kemudian,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar, di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut ketika sidang media, Abang Johari menjelaskan bahawa penemuan baharu ini adalah berbeza daripada penemuan yang diumumkannya baru-baru ini.

“Penemuan ini tidak sama dengan penemuan yang terletak di pusat Luconia dan Delta Baram sebelum ini. Yang ini adalah yang baharu dan kita tunggu kenyataan rasmi daripada PETRONAS.

“Justeru, kita (Kerajaan Sarawak) juga akan menjalankan tugas kita untuk meneroka dan membangunkan kawasan ini berdasarkan hak kita di bawah Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA).

“Ini juga bermaksud kita akan melakukan perlombongan dan penerokaan terhadap kawasan minyak dan gas tersebut menerusi PETROS (Petroleum Sarawak Bhd.),” jelasnya.

Terdahulu, PETRONAS telah mengumumkan penemuan gas terletak di perairan cetek Delta Baram, kira-kira 90 kilometer di luar perairan pantai Sarawak.

Berita gembira ini disusuli dengan satu lagi penemuan di Pusat Luconia yang terletak 80 kilometer luar pantai Sarawak, pada awal Februari lalu.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP

Agencies Under Ministry